Oleh: Ain Nabila (Pelatih UiTM)
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan siasatan kepada pemilik akaun Facebook, Uthaya Sankar SB, mengenai satu hantaran dimuat naik pada 7 April lalu, yang berunsurkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, individu lelaki yang berumur 50 tahun itu telah ditahan di sebuah rumah di Taman Sri Muda, Shah Alam pada jam 11.15 pagi tadi.
“Turut dirampas oleh suspek adalah satu telefon pintar berjenama iPhone XR beserta kad sim yang dipercayai digunakan bagi memuat naik hantaran itu.
“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dilakukan esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abd Jalil berkata, siasatan kini dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman, mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau turut menegaskan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan serta tidak menyentuh sensitiviti agama serta kaum.