KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,000 usahawan menyertai Kempen Mari Beli Lokal Ramadan dan Raya yang menawarkan 803 produk seperti pes makanan segera, produk runcit, pakaian raya dan kuih raya Di Bukit Bintang City Centre (BBCC) di sini.
Kempen Mari Beli Lokal BBCC terbabit turut disertai usahawan selebriti terkenal dengan jenam Lima Waktu, 7zikr, KEKASIH by The Melvins, Aspirasi Jelita Ainina Ahmad B, Girl Republique, SamTilla, Starvendors, dan Boenda.
Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pelancaran Kempen Mari Beli Lokal berkenaan bertujuan menarik sokongan orang ramai kepada produk tempatan yang dikeluarkan usahawan Malaysia.
“Kempen ini bertujuan memberi sokongan terhadap produk dan perkhidmatan perusahaan mikro, kecik dan sederhana (PMKS) tempatan dan secara tidak langsung membantu proses pendigitalan PMKS di Malaysia.
“Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan RM2.5 juta hasil jualan usahawan tempatan melalui Kempen Mari Beli Lokal,” katanya ketika melancarkan kempen itu di BBCC pada Rabu.
Sehubungan itu, menurut Ewon, KUSKOP memperkenalkan platform digital tanpa caj MyMall dalam kempen tersebut untuk kemudahan pengguna.
“Kepada pelanggan yang ingin mendapatkan kelengkapan Ramadan dan Raya seperti makanan, pakaian, perhiasan dan pelbagai keperluan lain boleh membuat pesanan menerusi aplikasi MyMall 2.0.
“Selain menyediakan platform e-dagang tanpa caj, MyMall turut menawarkan akses terhadap pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan dan pemasaran kepada usahawan dan koperasi tempatan,” katanya.