PETALING JAYA: Malaysia mengutuk keras tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan dalam kejadian membakar naskhah al-Quran di Stockholm, Sweden pada 21 Januari lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kerajaan Sweden mengambil langkah segera terhadap pelaku perbuatan keji itu serta memastikan langkah drastik pada masa depan untuk menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan di Sweden.
“Pengotoran kitab suci Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden itu dan ketiadaan tindakan adalah sama dengan mencetuskan Islamofobia.
“Ia merupakan provokasi besar terhadap sensitiviti bukan sahaja Turkiye tetapi lebih daripada dua bilion umat Islam di dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar menjelaskan Malaysia mengecam jenayah kebencian yang berulang kali menyasarkan umat Islam di dunia serta segala bentuk hasutan untuk membenci dan menyemarakkan perkauman yang semakin meningkat kerana kepercayaan atau etnik.
“Malaysia mengulangi pentingnya menegakkan prinsip dialog, penglibatan dan saling menghormati dalam penyelesaian pertikaian,” ujarnya
Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak umpan kaum atau agama dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara dan kekal bersatu menentang segala bentuk hasutan untuk kebencian dan keganasan.