PARLIMEN | Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memberi kelonggaran penjadualan semula atau penangguhan bayaran sehingga enam bulan kepada usahawan terjejas banjir, khususnya yang mendapat pembiayaan daripada agensi di bawahnya.
Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, kelonggaran tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kementeriannya bagi membantu kelompok usahawan yang terjejas akibat banjir.
“Mengenai banjir terutama usahawan yang terjejas dan mereka yang meminjam daripada agensi kita, ada dasar untuk beri kelonggaran kepada usahawan ini .
“Usahawan ini boleh memohon untuk menjadualkan pembiayaan atau menangguh pembayaran mereka sehingga maksimum enam bulan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib yang bertanya kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk menyatakan langkah membantu usahawan yang terjejas teruk akibat banjir.