BERLIN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyarankan agar rakyat Malaysia di Jerman dan seluruh dunia menjadi duta kepada produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.
Beliau berkata, syarikat kecil dan sederhana di Malaysia mempunyai banyak produk dan perkhidmatan yang berpotensi besar untuk dipasarkan ke luar negara.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam pembangunan keusahawanan dan koperasi, kami berharap semua rakyat Malaysia yang berada di seluruh dunia menjadi duta tidak rasmi kepada produk dan perkhidmatan PKS kita.
“Syarikat kecil dan sederhana di negara kita mempunyai banyak produk dan perkhidmatan yang berpotensi dan wajar untuk kita promosikan di negara di mana kita belajar atau bekerja termasuk di Jerman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakyat Malaysia di Jerman pada Khamis.